Bila kita bercakap tentang takaful, insurans nyawa atau insurans kesihatan. Apa yang selalu dibahaskan adalah apa beza takaful dan insurans? Penting ke untuk memiliki insurans nyawa ataupun takaful ni? Mengikut Harian Metro, seramai 85% rakyat malaysia tidak mempunyai sebarang takaful ataupun insurans. Ramai rakyat Malaysia melihat Takaful dan insurans sebagai satu bebanan kewangan terutamanya untuk mereka yang mempunyai komitmen tinggi setiap bulan.
Bukan sahaja masih ramai rakyat Malaysia yang tidak peka dan amik endah untuk memiliki insurans ataupun takaful, masih ramai juga yang masih tidak ambil tahu tentang apa itu takaful dan insurans. Jadi, apa beza takaful dan insurans? Baca artikel ini untuk kepastian.
Terdapat bermacam-macam jenis insurans yang ada boleh perolehi di Malaysia. Jenis insurans tidak terhad kepada insurans nyawa sahaja, tetapi ada juga insurans seperti insurans hartanah, insurans perubatan, insurans perjalanan, insurans motor/kereta dan insurans pihak ketiga.
Insurans adalah pelan perlindungan konvensional yang ditawarkan oleh syarikat- syarikat insurans seperti Prudential, Great Eastern, AmAssurance dan lain-lain lagi. Anda akan membeli polisi atau sijil dengan syarikat insurans menggunakan akad jual beli. Dengan akad jual beli tersebut, anda akan mendapat sejumlah wang jika berlaku sebarang musibah atau perkara yang diluar jangka seperti kemalangan, kehilangan upaya atau penyakit kronik dan sebagainya. Polisi dan pakej yang ditawarkan adalah berbeza- beza bergantung kepada syarikat insurans terbabit.
Terdapat 2 jenis takaful yang anda boleh dapati di Malaysia iaitu takaful am dan juga takaful keluarga. Di bawah kedua-dua takaful ini ada beberapa jenis pelan perlindungan seperti pelan motor, pelan kemalangan(kebakaran/kecurian), pelan kemalangan diri, pelan pendidikan, pelan perubatan dan kesihatan dan lain- lain lagi.
Secara amnya, Takaful adalah pelan perlindungan yang mengikut syariah. Jika anda mendapatkan takaful, akad yang digunakan untuk transaksi ini adalah akad menyumbang(menderma/Tabarru’). Konsep yang diguna pakai oleh takaful adalah konsep menabung menggunakan Tabarru’ di mana anda akan menyumbang ke dalam tabung Tabarru’ dengan niat membantu penyumbang tabung Tabarru’ yang lain jika mereka ditimpa musibah seperti yang disebut diatas.
Oleh itu, kebanyakan pinjaman peribadi koperasi dan bank ataupun pinjaman wang berlesen termasuklah yang ditawarkan oleh Direct Lending, mempunyai insurans atau pelindungan Takaful supaya hutang pinjaman tersebut dapat diselesaikan walaupun berlakunya kematian atau kemalangan kepada peminjam. baca artikel kami mengenai insurans/takaful pinjaman peribadi untuk maklumat lebih banyak info.
Perbezaan pertama yang kita boleh lihat adalah akad yang digunakan untuk kedua transaksi ini adalah berbeza. Akad yang digunakan untuk takaful adalah akad menderma manakala akad yang digunakan untuk transaksi insurans konvensional adalah akad jual beli.
Apakah yang membezakan kedua- dua akad tersebut?
Akad menderma di dalam konteks takaful adalah peserta yang mendapatkan perlindungan takaful haruslah ikhlas menderma ke tabung Tabarru’ dengan niat untuk membantu penyumbang lain yang menderma ke tabung Tabarru’ yang sama jika mereka dilanda sebarang musibah seperti kemalangan, kehilangan upaya ataupun penyakit- penyakit kronik. Dalam erti kata lain, penyumbang yang ingin mendapatkan perlindungan takaful haruslah mempersetujui sumbangan yang diberikan bolehlah diguna pakai dengan niat membantu sesama sendiri jika berlaku sebarang musibah.
Akad jual beli di dalam konteks insurans pula adalah anda membeli polisi yang ditawarkan oleh pihak insuranss dengan jaminan sekiranya anda terlibat dalam sesuatu musibah seperti kemalangan, kehilangan upaya ataupun penyakit- penyakit kronik, syarikat insurans terbabit akan memberikan pampasan berlipat kali ganda dari jumlah yang anda bayar untuk membeli polisi dari syarikat insurans tersebut.
Jadi, apakah isunya dengan akad yang digunakan oleh syarikat insurans yang menyebabkan insurans dilabelkan sebagai tidak patuh syariah?
Antara sebab utama yang mengharamkan insurans konvensional adalah melihat kepada akad transaksinya iaitu akad jual beli yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian.
Di dalam konsep jual beli Islam, jika kita membeli sesuatu produk, ianya haruslah pasti dan jelas. Pasti yang dimaksudkan dalam konsep jual beli islam termasuklah rupa, nilai dan tempoh.
Kembali kepada insurans, bila kita membeli polisi insurans, anda membayar sejumlah wang setiap bulan dengan jaminan yang anda akan diberi pampasan berlipat kali ganda jika berlaku sebarang musibah. Tapi adakah kita tahu bilakah kita akan dibayar jumlah pampasan tersebut? Bilakah kita akan meninggalkan ataupun sakit? Ketidakpastian ini yang menimbulkan isu kerana dalam hukum jual beli, kedua dua penjual dan pembeli mesti mengetahui jelas keadaan barang dibeli, bila akan diberikan dan sebagainya. Jadi, dalam sudut pandang insurans, kita tidak tahu bilakah kita akan mendapat pampasan berlipat kali ganda yang telah dijanjikan oleh pihak insurans.
Beza takaful dan insurans yang seterusnya adalah Maisir ataupun perjudian. Maksud judi adalah anda mendapat untung secara mudah tanpa perlu usaha yang banyak ataupun tidak mendapat sebarang untung. Selain itu, insurans mempunyai unsur judi kerana dengan membeli insurans, anda hanya perlu membayar jumlah yang kecil seperti RM100 tetapi pampasan yang akan diberikan kepada anda adalah RM100,000. Bayar sedikit tetapi untungnya banyak. Percanggahan nilai belian dan dapatan adalah sangat ketara dalam insurans. Mengikut konsep jual beli dalam islam, jika sesuatu produk yang dibeli berharga RM100, maka haruslah sama nilai RM100 barang yang diterima.
Itulah unsur judi yang ada didalam insurans. Jadi apa bezanya dengan Takaful? Takaful menggunakan akad menderma yang berkonsepkan tolong menolong antara penyumbang yang menyumbang kepada tabung Tabarru’ yang mana bukan sahaja berbeza dengan akad jual beli yang diguna pakai oleh syarikat insurans tetapi juga satu amalan yang sangat terpuji dalam islam iaitu membantu sesama saudara yang dilanda musibah dan kesusahan.
Unsur yang seterusnya yang kita dapat lihat dalam beza takaful dan insurans adalah unsur riba. Riba dalam sudut bahasa bermaksud penambahan ataupun lebihan. Riba didalam islam terbahagi kepada dua jenis riba iaitu riba hutang dan riba jualan. Di dalam konteks perbincangan harini, riba yang ingin dikemukakan adalah riba jualan.
Jadi, apa itu riba jualan? Riba jualan adalah bermaksud ada berlaku lebihan bagi satu pihak dalam pertukaran ataupun jual beli yang dilakukan. Di dalam konteks insurans, jumlah yang kita bayar tidak setimpal dengan jumlah pampasan yang dijanjikan oleh syarikat insurans jika kita terlibat dalam kemalangan ataupun musibah lain yang menimpa.
Selain daripada itu, unsur riba yang lain yang menjadi isu adalah syarikat insurans konvensional bebas untuk melabur duit yang mereka dapat ke atas mana mana syarikat yang membawa untung kepada mereka termasuk lah syarikat perjudian ataupun syarikat penjual beli arak dan mana- mana syarikat yang melanggar syariat dalam Islam.
Manakala untuk takaful, setiap pelaburan yang hendak dibuat oleh syarikat yang menawarkan takaful, haruslah melalui Majlis Penasihat Syariah dan medium yang digunakan haruslah patuh dan memenuhi syarat syariat Islam termasuklah tidak mempunyai unsur riba seperti perjudian, jual beli arak dan sebagainya.
Beza takaful dan insurans | Takaful | Insurans konvensional |
Akad | Akad menderma | Akad jual beli |
Gharar | Ada tempoh matang polisi | Tidak ada tempoh tetap |
Riba | Tiada unsur riba | mempunya unsur riba jualan |
Maisir | Menggunakan konsep menyumbang | Hasil untung jual beli yang sangat berbeza |
Selain melihat beza takaful dan insurans, kita juga haruslah ambil tahu kebaikan dan keburukan takaful dan juga insurans supaya kita dapat membuat pilihan yang tepat, yang paling sesuai dengan diri kita.
Secara dasarnya, takaful merupakan satu alternatif patuh syariah yang diwujudkan untuk memberi peluang kepada orang Muslim mendapatkan perlindungan dan manfaat lebih kurang seperti insurans konvensional kerana menurut pandangan sebahagian ulama’ dan fuqaha’, ciri-ciri sistem insurans konvensional tidak memenuhi syariat dan syarak dalam Islam dan menyebabkan sebahagian Muslim ragu-ragu untuk menggunakan insurans konvensional.
Oleh itu, para ilmuwan Islam dan golongan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan telah bekerjasama dan mewujudkan sistem takaful yang mengikut garis panduan Islam dalam usaha menyumbang kepada pelaksanaan ekonomi yang halal dan patuh syariah. Dengan adanya sistem perlindungan takaful ini, semua pengguna terutamanya orang Muslim dapat menikmati satu manfaat besar iaitu jaminan perlindungan kewangan yang mengikut garis panduan Islam dengan yakin.
Konsep asas sistem takaful ini adalah perlindungan bersama dalam kalangan penyumbang sistem takaful. Melalui konsep perlindungan bersama ini, kontrak takaful hanyalah di kalangan penyumbang sahaja dan syarikat pengendali takaful cuma bertindak sebagai pengurus yang menguruskan secara aktif skim perlindungan tersebut. Oleh itu, syarikat pengendali takaful bukanlah pihak yang memberikan perlindungan sebaliknya para peserta takaful sendiri adalah pihak yang memberi perlindungan sesama sendiri, selain daripada menjadi pihak yang dilindungi juga.
Pencarum takaful dibolehkan membuat pembayaran berkala secara bulanan, suku-tahunan, setengah-tahunan atau tahunan dengan kadar minimum yang ditetapkan oleh syarikat pengendali takaful atas pilihan masing-masing. Apa yang bezanya dengan syarikat insurans konvensional ialah pencarum takaful yang terlewat membayar wang caruman tidak akan dikenakan sebarang bayaran faedah kerana unsur-unsur riba selaras apa yang digariskan dalam Islam dan ini menjadi satu kelebihan buat para pencarum takaful.
Konsep takaful dan mudharabah adalah 2 konsep asas yang terpakai dalam sistem takaful supaya mematuhi garis panduan Islam . Al-Takaful bermaksud saling menjamin manakala Al-Mudharabah bermaksud perjanjian berkongsi untung dalam perniagaan di antara pemodal atau pembekal dana (penyumbang takaful) bagi suatu usaha niaga dengan pengusaha (pengendali takaful).
Sebagai contoh, perniagaan al-Takaful yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat takaful di Malaysia boleh digambarkan sebagai suatu usaha niaga berkongsi untung dengan sekumpulan peserta yang saling menjamin antara satu sama lain daripada kemusnahan tertentu yang menimpa mana-mana peserta seperti kematian dan bencana. Dalam sistem takaful, wang pencarum tidak dikira sebagai wang syarikat. Wang itu akan diasingkan dan tidak dimiliki oleh pengendali. Pengendali takaful hanya bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar manfaat takaful daripada kumpulan wang takaful. Bahkan jika berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali takaful akan menyediakan pinjaman tanpa faedah (Qardhul Hasan) untuk menampung kekurangan berkenaan.
Melalui kontrak Mudharabah, peserta diberi hak untuk turut berkongsi keuntungan yang diperolehi melalui pelaburan aset kumpulan wang takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui. Manakala lebihan untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada pencarum. Jelas di sini bahawa keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri yang mana berbeza dengan sistem insurans di mana keuntungan yang diperolehi diagih mengikut keputusan syarikat insurans tersebut.
Jika anda meninggal sebelum tempoh skim perlindungan takaful keluarga yang disertainya matang,maka waris anda akan menerima bayaran manfaat takaful seperti:
a) Semua ansuran caruman takaful yang dibayar oleh anda sebelum anda meninggal seperti yang telah terkumpul dalam akaun anda dan bahagian keuntungan pelaburan yang diperuntukkan kepada anda mengikut perjanjian al-Mudharabah.
b) Baki ansuran caruman takaful yang sepatutnya dibayar oleh anda jika anda tidak meninggal dan terus mengekalkan penyertaan. Jumlah baki ini adalah dikira dari tarikh selepas kematian sehingga tarikh skim perlindungan yang disertai itu matang.
c) Semua ansuran caruman takaful yang dibayar oleh anda yang terkumpul dalam akaun anda dan bahagian keuntungan pelaburan yang diperuntukkan kepada anda mengikut perjanjian al-Mudharabah.
d) Lebihan daripada akaun khas semua penyumbang yang dapat diperuntukkan kepada anda. Lebihan ini diperolehi setelah ditolak semua perbelanjaan untuk mengendalikan takaful keluarga seperti bayaran manfaat takaful kepada waris, para penyumbang yang meninggal dunia dan lain-lain lagi.
Penambahan jumlah syarikat yang menawarkan takaful adalah penting bagi mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan syarikat- syarikat takaful. Ini kerana, setiap syarikat takaful akan menawarkan produk yang terbaik dan berkualiti serta menambah jenis- jenis produk yang ditawarkan untuk menarik ramai untuk menggunakan skim takaful. Secara tidak langsung, kita sebagai pelanggan akan keliru dengan pilihan yang banyak dalam memastikan skim takaful yang disertai betul- betul dapat memberi faedah perlindungan yang maksimum dan memuaskan hati.
Walaupun dunia semakin berkembang dan informasi boleh didapati semudah melayari internet. Tetapi masih ramai orang diluar sana ‘especially’ umat Islam yang masih tidak peka dan ambil tahu tentang takaful walaupun iannya penting dan diperkenalkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional yang telah diharamkan.
Kelemahan juga dilihat apabila ejen yang menjual produk takaful tidak dapat menjelaskan secara terperinci akan kelebihan-kelebihan yang boleh didapati dengan menggunakan takaful berbanding insurans konvensional.
Selain itu, pengendali-pengendali takaful juga perlu memikirkan medium terbaik dalam usaha memberi pendedahan kepada orang ramai tentang takaful yang dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak. Ini menyebabkan ramai yang bersangka yang tidak ada beza takaful dan insurans.
Salah satu kelebihan yang ketara untuk insurans adalah bukan sahaja terdapat banyak syarikat insurans konvensional yang kita boleh pilih tetapi juga, pelbagai pakej insurans yang ditawarkan oleh syarikat insurans untuk menarik minat ramai untuk membeli polisi dari syarikat mereka. Polisi perlindungan yang bermacam- macam manfaat dan kos yang mampu milik untuk bermacam- macam keadaan menjadikan insurans konvensional pilihan yang utama orang ramai.
Selaras dengan konsep jual beli yang diguna pakai oleh syarikat insurans konvensional yang mana anda membeli sebuah polisi perlindungan dengan janji ada akan diberi pampasan jika berlaku sebarang musibah ataupun kerugian pada pihak anda. Dengan erti kata lain, syarikat insurans tersebut akan menanggung risiko terbabit bagi pihak anda. Dibandingkan dengan takaful yang mana risiko kerugian akan ditanggung sesama penyumbang tabung Tabarru’.
Seperti yang anda sudah ketahui, salah satu beza takaful dan insurans adalah takaful memenuhi syarak dalam islam manakala insurans konvensional mempunyai unsur yang bertentangan dengan ajaran islam seperti riba, maisir, gharar dan sebagainya. Ini menjadikan insurans konvensional tidak bersesuain kepeda mereka yang beragama islam kerana ianya diisytiharkan sebagai produk tidak patuh syariah bagi muslim.
Berbeza dengan konsep “kesamaan” yang diguna pakai oleh syarikat takaful yang mana untung pelaburan syarikat takaful akan dibagi sama rata antara penyumbang dan juga pengendali takaful. Mereka juga bukan pemegang mutlak dana yang terkumpul, berbeza dengan insurans konvensional kerana konsep yang diguna pakai adalah konsep jual beli. Duit yang dibayar oleh pembeli polisi perlindungan dirkara sebagai hak mutlak milik syarikat insurans konvensional dan mereka bebas untuk menggunakan duit itu dan segala keuntungan yang mereka dapat hasil pelaburan menggunakan dana tersebut adalah milik mutlak syarikat insurans konvensional dan bonus yang diberikan kepada pembeli polisi adalah atas dasar budi baik syarikat tersebut. Dengan kata lain, keuntungan tersebut tidak dibahagi sama rata antara syarikat insurans dan pembeli polisi.
Kesimpulannya, kedua- dua polisi perlindungan mempunyai baik buruknya yang tersendiri. Semoga anda tidak lagi tertanya- tanya dan ragu- ragu lagi untuk membuat pilihan yang sesuai dengan diri anda. Bukan muslim juga boleh mendapatkan takaful dan ianya bukan sahaja terhad kepada orang islam.
Artikel ini disediakan oleh Direct Lending, adalah sebuah platform pinjaman peribadi bank dan koperasi dan juga pinjaman wang berlesen dalam talian yang membawa misi untuk memberikan pinjaman mudah, selamat dan berpatutan untuk semua individu yang bekerja keras dalam Malaysia. Kami bantu anda untuk cari, banding dan mohon pinjaman peribadi yang sesuai dengan anda.
Perkhidmatan kami 100% percuma. Tiada sebarang caj yang dikenakan. Kami juga menawarkan pembiayaan auto-servis “Servis kereta sekarang, Pay later” yang patuh syariah untuk pemilik kereta yang memerlukan bantuan.