Content Writer and Translator
Mesti penatkan naik turun bank semata-mata untuk mohon pinjaman peribadi tetapi akhir sekali tetap kene tolak permohonan tersebut. Apa yang lagi pelik alasan pihak bank kenapa pinjaman peribadi bank tidak diluluskan adalah kerana tiada komitmen atau zero komitmen.
Kalau ikut logik akal, lagi kurang seseorang itu berhutang maka lebih baik bukan? Sebaliknya lain yang berlaku pada pendapat pihak bank yang mempunyai garis panduan mereka berkenaan dengan kemampuan peminjam membayar balik hutang yang dipinjam.
Namun anda jangan risau, artikel pada kali ini kami akan berkongsi dengan anda semua mengenai cara mohon pinjaman peribadi bank walaupun zero komitmen.
Zero komitmen adalah individu yang tidak pernah ada apa-apa komitmen langsung. Ini bermaksud bank tidak menemukan apa-apa rekod kewangan kita yang boleh dijadikan rujukan dan penilaian untuk meluluskan pinjaman peribadi tersebut.
Dalam situasi seperti ini, biasanya agensi pelaburan kredit seperti CCRIS, CTOS, dan Experian akan mengkategorikan skor kredit mereka sebagai “No Score”.
Umumnya, setiap bank mempunyai kriteria-kriteria yang berbeza yang mereka tengok dalam proses permohonan loan pemohon. Namun ada tiga core fundamentals utama yang bank akan tengok yang dinamakan sebagai 3C of Credit untuk menilai tahap risiko kewangan dan jika kita layak untuk menerima pinjaman peribadi bank ataupun tidak.
Bank akan lihat sejarah pembayaran balik, hutang tertunggak, dan pendapatan tahunan pemohon sama ada pernah kena blacklist, disenaraikan di bawah SAA / AKPK dan sebagainya.
3C of Credit yang pertama adalah character, kedua adalah capital, dan yang ketiga adalah capacity.
Intipati penting dalam character adalah untuk melihat corak dan sejarah pembayaran balik. Contohnya jika ada tunggakan bayaran lebih daripada 2 bulan, institusi kewangan akan kategorikan kredit rating peminjam tersebut sebagai tidak baik.
Walaupun begitu, bagi seseorang yang tidak mempunyai rekod kredit ia bukanlah bermaksud rekod kredit mereka tidak baik. Hal ini kerana, peminjam akan lihat juga kepada aspek dari segi corak pembayaran yang lain seperti bil telefon, bil elektrik, ataupun tempoh pekerjaan anda.
Seterusnya adalah capital iaitu nilai bersih ataupun aset diri. Pemberi pinjaman akan semak sama ada kita ada atau tidak aset berharga seperti hartanah, simpanan tetap, simpanan, pelaburan, dan sebagainya. Perkara ini sangat penting bagi memastikan peminjam ada kemampuan untuk bayar balik hutang kredit yang dibuat nanti sekiranya berlaku tunggakan bayaran.
C yang terakhir adalah capacity yang berfungsi bagi menilai keupayaan membayar balik hutang kemudahan kredit. Contohnya, jika sebelum ini kita pernah mohon pinjaman dan telah langsaikan hutang tersebut, ini bermakna kita mempunyai rekod sejarah kredit yang baik.
Bukti ini boleh membantu meningkatkan peluang kelulusan pinjaman peribadi bank nanti. Dalam masa yang sama, pemberi pinjaman atau pihak bank ini akan lihat juga pada faktor-faktor yang lain seperti pekerjaan, pendapatan, umur, status perkahwinan, perbelanjaan, dan sebagainya semasa hendak proses permohonan kita nanti.
Hal ini penting untuk membantu mereka menilai sama ada latar belakang kita ini sepadan ataupun tidak dengan kemudahan kredit yang dimohon.
Skor kredit adalah indikasi sejarah kredit diri atau sistem permakahan yang menentukan kesihatan kewangan. Ia merupakan salah satu faktor yang terpenting untuk menentukan permohonan pinjaman peribadi bank yang dibuat bakal diluluskan ataupun tidak.
Lagi bagus skor kredit kita, maka lebih mudah untuk mendapatkan kelulusan permohonan pembiayaan atau kad kredit.
Walaupun ramai yang tahu akan peranan skor kredit ini dalam permohonan pinjaman tetapi masih terdapat segelintirnya yang tidak ambil kisah atau peduli tentang hal tersebut.
Siapa kata individu yang zero komitmen tidak boleh mohon pinjaman peribadi bank? Tidak semestinya sebenarnya. Untuk pengetahuan anda, kebanyakkan pinjaman tidak meletakkan syarat perlu ada komitmen untuk melayakkan seseorang untuk memohon.
Hal ini kerana, banyak lagi faktor lain yang memainkan peranan bagi menentukan pinjaman kita lulus. Bayangkanlah jika komitmen ini menjadi syarat wajib untuk memohon pinjaman, maka sampai bila-bila pun individu yang baru bekerja layak untuk memohon pinjaman.
Hanya sahaja situasi zero komitmen ini menjadi isu disebabkan oleh sesetengah institusi kewangan yang mungkin tidak berani menanggung risiko untuk meluluskan jumlah pinjaman yang tinggi kepada mereka yang tiada komitmen.
Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika kita membina skor kredit yang baik terlebih dahulu sebelum membuat permohonan pinjaman. Berikut adalah cara bina skor kredit untuk yang zero komitmen:
Cara pertama yang paling mudah sekali untuk bina skor kredit adalah dengan mewujudkan akaun kad kredit. Bagi yang pertama kali mahu berjinak-jinak menggunakan kad kredit atau baru bekerja, pastinya kita mungkin sedikit gugup untuk terlibat dalam penggunaan kad kredit.
Hal ini kerana tidak sedikit pengguna yang terjerumus ke lembah muflis kerana menggunakannya tanpa memahami terma dan syarat, namun menikmati kemudahan berkenaan hingga terjerat dalam beban hutang berpanjangan.
Lihat sahajalah pada statistik yang dikongsikan Jabatan Insolvensi Malaysia baru-baru ini, sebanyak 5,502 kes muflis berpunca daripada kad kredit.
Sebenarnya dalam hal ini semuanya berbalik kepada diri kita sendiri kerana pengalaman ngeri kad kredit boleh dielakkan dengan penggunaannya yang berhemah. Jika setiap kali beli barang terasa asyik mahu “swipe” sahaja, sudah pastilah bil kad kredit akan tinggi menggunung.
Belajar untuk hadkan penggunaan kad kredit anda kepada kurang dari 30% had kredit untuk membina skor kredit yang cemerlang bukan sebaliknya.
Apa-apa pun cara ini memang mudah dan ringkas tetapi memerlukan kepintaran menguruskan kewangan serta komitmen anda sendiri untuk memastikan ia tidak disalah guna dan seterusnya menanggung beban hutang yang lebih teruk.
ASB Loan atau ASB Financing adalah pinjaman atau pembiayaan daripada ejen bank ASB terpilih seperti Maybank, RHB, CIMB atau sebagainya untuk membuat pelaburan ASB. Fungsi ini membolehkan seseorang untuk melabur dengan jumlah yang besar dan mendapat pulangan yang lebih tinggi dari biasa.
Contohnya, kita pinjam RM50,000 daripada bank, jumlah ini akan dimasukkan ke dalam akaun ASB kita. Kemudian, pada setiap tahun apabila dividen diumumkan, kita akan dapat lihat hasil dividen dalam akaun ASB itu.
Dalam bahasa mudahnya, kita sebenarnya berhutang dengan bank untuk melabur dalam ASB.
Kaedah membuat ASB loan ini boleh dikatakan lebih selamat untuk bina skor kredit untuk yang zero komitmen.
Bagi pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), membuat PTPTN loan sudah pasti tidak asing lagi bagi mereka.
Mungkin ramai peminjam sebelum ini menganggap bahawa mereka boleh mengelak dari membuat bayaran balik pinjaman PTPTN, tetapi ini tidak benar sama sekali.
Untuk pengetahuan anda, PTPTN mula menyenaraikan peminjamnya di CCRIS pada Jun 2015 sebagai satu cara untuk menggalakkan peminjam untuk membayar balik pinjaman pelajaran mereka.
Peminjam yang konsisten membuat bayaran balik, pinjaman pelajaran PTPTN sebenarnya boleh memperbaiki rekod kredit kerana peminjam akan dilihat sebagai pengguna kredit yang bertanggungjawab.
Jika anda tidak mempunyai sebarang skor kredit atau sejarah kredit yang dikenali, memohon pinjaman mungkin menjadi cabaran. Namun, masih ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda pertimbangkan.
Bank atau institusi kewangan mungkin mempertimbangkan pendapatan tetap anda sebagai petunjuk kewangan. Jadi, seeloknya sediakan dokumen yang menyokong seperti penyata gaji, surat perintah, atau penyata bank untuk membuktikan kemampuan pembayaran anda.
Anda boleh sekalikan surat rujukan daripada majikan sebagai jaminan untuk meningkatkan keyakinan pemberi pinjaman terhadap anda. Jaminan ini untuk meyakinkan bahawa anda mampu untuk membuat pembayaran balik pinjaman.
Memohon kad kredit dan menggunakan dengan bijak boleh membina sejarah kredit anda. Walaupun ini bukan pinjaman secara langsung, ia dapat membantu anda meningkatkan skor kredit anda bagi masa depan.
Jika pinjaman anda ditolak oleh bank disebabkan tiada skor kredit, mungkin anda boleh mohon dengan pinjaman wang berlesen yang diselia oleh KPKT. Terdapat penyedia pinjaman alternatif yang mungkin lebih bersedia untuk meminjamkan wang kepada individu tanpa skor kredit yang kukuh. Walau bagaimanapun, pastikan untuk melakukan penyelidikan yang teliti dan memahami syarat-syarat pinjaman sebelum membuat keputusan.
Dengan mengambil langkah-langkah ini dan mempertimbangkan pelbagai pilihan, anda masih mempunyai peluang untuk mendapatkan pinjaman walaupun tanpa skor kredit yang kukuh. Pastikan untuk memilih penyelesaian yang paling sesuai dengan keperluan kewangan anda.
Selain daripada cara-cara yang telah disenaraikan di atas tadi, terdapat lagi beberapa cara umum yang boleh anda aplikasikan untuk meningkatkan skor kredit kewangan. Berikut adalah tipsnya:
Pastikan semua butiran telah dikemas kini supaya laporan kredit terkini yang dimiliki CTOS adalah tepat. Untuk mengemas kini butiran peribadi dalam laporan kredit tersebut, anda boleh menghubungi Agensi Pelaporan Kredit untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Elak dari menangguhkan bayaran hutang yang ada untuk mengelak dari skor kredit menjadi rendah. Cuba sedaya upaya untuk selesaikan hutang tepat pada masanya atau cari jalan untuk mendapatkan dana lebih supaya boleh menyelesaikan hutang. Sikap anda yang mampu untuk menyelesaikan hutang tepat pada masanya akan mencerminkan kredibiliti anda sebagai pembayar yang berhemah.
Bayar hutang atau bil secara konsisten setiap bulan walaupun dengan nilai yang sedikit. Cara ini dikatakan mampu membantu untuk meringankan kewajipan kewangan anda yang sedia ada.
Mungkin ramai tidak tahu, pembayaran bil adalah peluang anda untuk menunjukkan kepada syarikat bahawa anda adalah pelanggan yang boleh dipercayai. Sebaliknya, pembayaran yang lewat berterusan boleh menurunkan skor kredit anda secara tidak langsung.
Jangan sambil lewa dengan urusan perkongsian bayaran. Hal ini kerana kegagalan orang lain untuk melunaskan bayaran mereka boleh memberi kesan kepada skor kredit anda. Misalnya, jika anda mengamalkan berkongsi bil atau kad kredit bersama orang lain. Pembayaran balik lewat boleh menjejaskan skor kredit anda.
Untuk memastikan hutang kad kredit sentiasa rendah anda perlu pastikan nisbah hutang kredit iaitu adalah 30% sahaja.
Contohnya, jika had kad kredit anda ialah RM5,000 sebulan, pastikan anda tidak terhutang lebih daripada RM1,500.
Selain dari mohon pinjaman peribadi bank, peminjam zero komitmen menggunakan alternatif lain untuk mendapatkan pinjaman kewangan.
Pemberi pinjaman wang berlesen adalah pemberi pinjaman yang dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Mereka mempunyai lesen yang sah dengan maklumat seperti nama syarikat, alamat, nombor lesen dan kesahihan lesen.
Menurut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kadar faedah untuk pinjaman tidak bercagar adalah tidak lebih daripada 18% p.a. manakala untuk pinjaman bercagar tidak lebih daripada 12% p.a.
Jumlah pinjaman yang layak untuk dipinjam adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti pendapatan anda, komitmen hutang semasa dan sejarah kredit. Untuk menyemak kelayakan anda, boleh semak menggunakan kalkulator pinjaman peribadi ini.
Untuk penjawat awam pula, anda boleh membuat pinjaman koperasi dari mana-mana koperasi yang berdaftar di Malaysia di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Contohnya pinjaman koperasi tentera ditawarkan oleh Koperasi Angkatan Tentera Malaysia (KT), dan pinjaman untuk anggota polis pula ditawarkan oleh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (PDRM). Ada juga pembiayaan khas untuk para guru daripada Koperasi Guru.
Antara kelebihan pinjaman jenis ini adalah ia menawarkan jumlah pembiayaan yang tinggi dan tempoh yang panjang, membenarkan permohonan pinjaman blacklist CCRIS atau mempunyai tunggakan di rekod CCRIS.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai cara mohon pinjaman peribadi bank walaupun zero komitmen ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan lulus permohonan pinjaman.
Hannani Juhari has been a content writer and translator since 2018 at a variety of Malaysia’s popular websites. Originally from Johor Bahru, Johor and graduated from the University of Tun Hussein Onn Malaysia. She is known as a musicophile and a 100% digital nomad.