Marketing
Untuk anak muda yang mula melangkah masuk umur 20 tahun, inilah masanya untuk anda belajar membuat keputusan sendiri dan mengurus kewangan anda. Mungkin ada yang akan kata, “Rilek ah. Muda lagi. Enjoy dulu.” Betul, tapi anda kenalah pandai tahu had atau limit anda di mana. Kami faham mula-mula apabila semua benda kena buat sendiri memang rasa susah atau leceh. Tapi ini adalah sebenarnya sebahagian daripada proses ‘adulthood’. Anda masih muda lagi dan mempunyai masa dan peluang untuk buat yang terbaik. Hadamkan nasihat kewangan ini agar anda berjaya capai matlamat kewangan yang diinginkan.
Tanpa pendapatan, macam mana nak survive? Tak kisahlah pendapatan tetap atau pendapatan sampingan penting untuk anda mempunyai sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan. Mungkin ada yang masih menganggur terutamanya fresh graduate yang baru sahaja menamatkan pelajaran. Jangan mudah berputus asa dengan proses mencari kerja. Terus menghantar CV atau resume kepada majikan. Jangan lupa juga untuk mempelajari teknik-teknik temuduga yang power untuk mudah lulus interview.
Untuk yang sudah mempunyai kerja tetap, kalau ada masa lapang bolehlah buat side job untuk jana pendapatan tambahan. Masa muda inilah masa yang sesuai kerana anda belum ada banyak komitmen seperti komitmen berkeluarga dan tenaga yang masih cukup kuat untuk buat kerja extra. Jika mampu, cuba cari cara menambah pendapatan yang sesuai dengan kemahiran dan minat anda.
Kalau anda pandai buat design, bolehlah cari kerja freelance, sebagai designer. Kalau anda pandai memasak atau baking, ianya juga salah satu perniagaan yang menguntungkan walaupun hanya bisnes kecil-kecilan. Anda boleh ambil order dan buat promosi secara online sahaja untuk mengumpul order dari pelanggan. Anda mungkin perlukan bajet beli barang dapur tapi tidak perlu sewa kedai untuk operasi bisnes tersebut. Nampak tak? Walaupun bekerja sepenuh masa anda sebenarnya ada masih berpeluang buat duit online tanpa modal yang besar.
Bajet bulanan anda sepatutnya menunjukkan jumlah aliran keluar masuk duit anda. Duit yang masuk adalah daripada pendapatan tetap, sampingan, simpanan dan pelaburan. Duit yang keluar pula adalah seperti bil sewa rumah, bil utiliti, makan dan minum, pakaian dan lain-lain. Penting untuk anda tahu duit anda habis dekat mana. Oleh itu, senaraikan bajet perbelanjaan anda dengan lebih teliti.
Anda boleh cuba bahagikan bajet bulanan ikut formula mudah seperti kaedah 50 30 20 rule. Bahagikan pendapatan anda kepada 50% (keperluan & komitmen), 30% (kehendak) dan 20% (simpanan atau pelaburan). Anda boleh rekod perbelanjaan ini menggunakan aplikasi kewangan ataupun hanya menyimpan nota di telefon bimbit. Mungkin nampak mudah, tapi bila ramai yang masih gagal untuk rekod perbelanjaan mereka dan bila masuk hujung bulan barulah pelik ke mana duit lesap. Oleh itu, dengan pengurusan kewangan peribadi anda dapat rancang kewangan dan perbelanjaan dengan lebih teratur.
Perkara ini berkaitan juga dengan cara anda rancang bajet bulanan. Anda perlu faham beza antara keperluan dan kehendak. Keperluan adalah perbelanjaan yang wajib ada untuk jalani kehidupan seperti biasa. Biasanya ia adalah komitmen bulanan. Contohnya seperti makanan, rumah, kenderaan, bil utiliti dan lain-lain. Untuk kehendak pula, ia adalah perbelanjaan yang bantu jadikan hidup anda lebih selesa. Anda boleh hidup macam biasa jika anda tidak mempunyai benda itu. Contohnya seperti langganan Netflix, minum di Starbucks dan lain-lain.
Keperluan dan kehendak setiap orang berlainan. Tapi jika boleh, cuba kurangkan belanja kehendak atau cuba pilih alternatif untuk belanja kehendak yang lebih murah. Apa-apa pun semua bergantung kepada kemampuan diri. Jika anda mampu untuk penuhi kehendak dan kemahuan pada masa yang sama dengan bajet yang besar tapi masih mampu untuk selesaikan komitmen bulanan dan mempunyai simpanan, apa salahnya kan? Tapi perlu kami ingatkan anda tidak perlulah semata untuk ‘catch up with the trend’, anda berbelanja lebih untuk menunjukkan anda bergaya and kaya.
Simpanan boleh jadi komitmen, boleh juga jadi kehendak. Hal ini kerana, tidak semua yang ada pendapatan mampu untuk buat simpanan. Bayangkan jika gaji kurang daripada gaji minimum dan tinggal di kawasan bandar seperti KL & Selangor. Agar sukar untuk semua mengasingkan duit untuk simpanan. Kami akui, simpanan itu memang sesuatu yang semua orang kena ada. Namun, ingat buat simpanan jika anda masih ada duit lebih selepas selesaikan komitmen bulanan.
Jika anda mampu anda boleh bina pelbagai jenis simpanan. Sebagai contoh, tabung kecemasan, tabung kahwin, tabung deposit untuk beli kereta, beli rumah dan banyak lagi. Antara semua jenis simpanan ini, penting untuk anda mempunyai dana kecemasan. Sebab kita tidak akan tahu apabila sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Amaun untuk dana kecemasan yang disyorkan adalah sekurangnya 3 sehingga 6 bulan gaji anda.
Selain daripada mempunyai akaun simpanan di KWSP, bila anda baru sahaja bekerja kami galakkan untuk anda memulakan simpanan di beberapa platform pelaburan terbaik seperti ASB & Tabung Haji. Rugi kalau anda tiada kedua-dua akaun ini sebab dividen tahunan memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada akaun simpanan. Jika anda tahu cara simpan duit di asb dengan betul, anda akan terima untung daripada dividen tahunan. Lama-lama banyak wang akan terkumpul.
Namun, untuk yang suka menyimpan dengan platform lain, boleh mulakan simpanan dengan beberapa robo advisor Malaysia. Alat pelaburan ini sesuai jika anda kurang pengetahuan dalam pelaburan kerana ia menggunakan algoritma, matematik dan kecerdasan buatan (AI) bagi menentukan aset yang akan di dalamnya. Kebelakangan ini juga, simpanan menggunakan pelaburan emas semakin meningkat. Salah satu sebabnya adalah harga emas kurang terkesan walaupun terjadi krisis ekonomi.
Perlindungan Takaful boleh dijadikan sebagai ‘back-up’ anda sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kesakitan atau ditimpa kemalangan. Anda boleh ambil satu plan perubatan, cukup sekadar untuk menampung kos perubatan ketika kecemasan. Tidak perlulah ambil pakej yang terlalu mahal. Ikut bajet masing-masing. Ada sahaja pakej yang mampu milik dari RM38 sebulan, perlindungan sebanyak RM50,000.
Bila baru mula bekerja, memang agak susah sikit untuk beli rumah. Paling-paling anda sewakan rumah dulu. Tiada apa yang memalukan jika anda sewa rumah. Apabila kewangan sudah mula stabil barulah pelan untuk beli rumah. Kalau mampu, belilah sekurang-kurangnya sebuah rumah. Bayangkan jika anda beli rumah sebelum berumur 30 tahun, ansuran bulanan anda akan jadi lebih rendah sebab boleh ambil tempoh pinjaman yang lebih panjang.
Sebenarnya tidak salah untuk anda beli kereta atau beli motor. Sebab ia boleh bantu memudahkan pergerakan kita kerana tidak semua tempat mempunyai akses pengangkutan awam. Jadi, masa muda-muda lagi belilah kenderaan ikut kemampuan. Jangan semata-mata nak show off. Untuk yang mula bekerja, kereta Viva atau Myvi sudah memadai. Sebab selain bayaran ansuran, anda perlu ambil kira kos minyak, parking, tol, road tax, servis kereta dan lain-lain.
Sekiranya anda ingin dapatkan lebih ilmu tentang kewangan, ada banyak sumber percuma yang mudah didapati. Anda boleh baca buku atau blog kewangan. Tapi kalau kurang minat untuk baca buku, boleh sertai seminar kewangan. Sekarang ini dah banyak yang anjurkan majlis ilmu kewangan. Alternatif lain adalah menerusi Facebook group, Telegram group dan blog-blog usahawan. Di sana ada banyak user yang sering berkongsi ilmu kewangan.
Secara rumusnya, adalah penting untuk anda semua tahu tentang kemampuan diri masing-masing. Praktikkan nasihat kami ini dan mula bertindak sekarang untuk masa depan yang lebih cerah! Sekiranya anda rasa blog ini berguna, kongsikan dengan kawan-kawan yang baru mula bekerja.
Artikel ini ditulis oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank & koperasi dan pinjaman wang berlesen. Kami boleh bantu anda cari, banding & mohon pinjaman yang paling sesuai dengan anda. Semak kelayakan anda secara percuma & dapatkan pinjaman serendah 2.95% setahun atau secepat 2 hari bekerja.
An ex-banker, digital marketer, and masters graduate from University of Coventry. Mandy enjoys filling in the gaps of financial literacy by transforming ‘dry’ financial topics into ‘digestible’ articles. She did a lot of ballet growing up and is always on the hunt for the best deals online.