Mungkin tidak ramai yang tahu mereka boleh buat semakan wang yang tidak dituntut dan claim duit secara online. Mungkin dulu, prosedur tuntutan ini begitu sukar, leceh dan merumitkan. Hal ini kerana, anda perlu beratur panjang tidak kira di mana-mana kaunter Jabatan Akauntan Malaysia (JANM) negeri sekalipun.
Cara ini juga berguna untuk anda yang urgent perlukan duit segera. Hari ini, anda boleh lakukan segalanya di hujung jari dengan menggunakan portal eGumis. Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan bagaimana cara semakan wang yang tidak dituntut dengan mudah.
Apa Itu Wang Tak Dituntut?
Wang yang tidak dituntut adalah sejumlah wang milik mana-mana individu atau syarikat sama ada dalam bentuk simpanan, dividen, tuntutan insurans, bank draf atau sebagainya.
Wang ini perlu dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu tahun.
Status wang ini biasanya akan menjadi wang tak dituntut, bila mana ia tidak diambil semula oleh pemiliknya dalam satu tempoh yang telah ditetapkan.
Berdasarkan laporan daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia, dikatakan sebanyak RM 11 billion wang tak dituntut sehingga Mac 2023.
Contoh Wang Tak Dituntut
Umumnya, wang tak dituntut adalah wang yang sepatutnya dibayar kepada seseorang tetapi ia gagal dibayar dalam tempoh setahun.
Berikut merupakan antara contoh jenis wang ini yang perlu anda tahu:
- Gaji, upahan, bonus, komisen, dan wang lain yang perlu dibayar kepada kakitangan
- Dividen
- Keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan
- Tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran
- Draf bank, cashier’s order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh salah lakunya telah luput
- Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang
- Cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai
- Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit
Di samping itu, wang dalam akaun anda yang tidak dikendalikan atau tidak aktif dalam tempoh tidak kurang dari tujuh tahun juga akan dikira sebagai wang tak dituntut. Contohnya seperti:
- Akaun simpanan
- Akaun semasa
- Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik)
Begitu juga wang dalam kredit akaun dagangan yang tidak kendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam tempoh masa tidak kurang dari dua tahun seperti:
- Akaun pemiutang dagangan
- Akaun penghutang dagangan berbaki kredit
Fungsi Portal eGumis
eGumis atau Electronic Government Unclaimed Money Information System adalah sebuah sistem yang dilancarkan oleh kerajaan pada Januari 2020. Portal ini berfungsi untuk menyediakan beberapa kemudahan kepada umum secara online seperti:
- Membuat bayaran serahan WTD melalui FPX
- Memuat naik daftar WTD yang telah di-encrypt secara atas talian
- Menyemak status serahan WTD yang dikemukakan secara atas talian
- Memuat turun resit serahan WTD
- Memuat turun surat kuiri serahan WTD
- Mengemas kini rekod syarikat / firma yang pernah didaftarkan dalam sistem pendaftaran WTD
Kelebihan eGumis WTD
Bila ada fungsi pastilah ia memberi manfaat kepada banyak orang. Berikut adalah beberapa manfaat dan kelebihan eGumis:
- Mengurangkan lambakan orang yang datang memenuhi kaunter JANM setiap hari
- Lebih mudah, fleksibel dan cepat untuk membuat semakan
- Menjimatkan masa sebab tidak perlu beratur panjang
Siapa boleh buat semakan tuntutan?
Permohonan tuntutan ini boleh dibuat oleh pihak-pihak seperti berikut:
- Empunya / pemilik WTD sendiri
- Pentadbir harta pusaka (wasi) yang dinamakan dalam Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka
- Pelikuidasi yang mewakili syarikat / firma yang sedang dalam proses penggulungan
- Individu atau syarikat / firma yang dinamakan dalam Perintah Mahkamah
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia / Jabatan Insolvensi Malaysia bagi syarikat / firma yang bubar atau individu yang bankrap
Cara Semakan Wang Tak Dituntut Online Melalui Portal eGumis
Berikut adalah cara semakan wang tidak dituntut yang boleh dibuat menerusi portal eGumis:
- Layari laman web rasmi eGumis: https://egumis.anm.gov.my/.
- Buat pendaftaran pengguna secara atas talian (online).
- Log masuk portal menggunakan kata laluan yang sudah didaftarkan.
- Kemaskini maklumat pengguna.
- Klik pada butang “Klik Di Sini Untuk Carian Wang Tak Dituntut” untuk membuat semakan wang tak dituntut melalui nombor kad pengenalan diri atau nombor pendaftaran syarikat. Had maksimum carian adalah sebanyak 2 kali sahaja dalam tempoh satu hari.
- Cetak maklumat mengenai wang tak dituntut (jika ada).
- Klik “Cetak” jika perlu.
Buat anda yang pertama kali mendaftar dalam portal eGumis ini, anda jangan lupa untuk:
- Mengemaskini maklumat pengguna selepas anda hantar borang permohonan WTD yang terkini dan terbaru di portal eGumis.
- Menukar kata laluan sementara kepada kata laluan yang lebih selamat dari masa ke semasa.
- Selepas selesai mendaftar eGumis, pastikan juga anda membuat verifikasi akaun anda untuk tujuan pengesahan.
Dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan
Terdapat beberapa dokumen yang perlu anda sediakan dan buat semakan untuk diserahkan bersama-sama dengan tuntutan tersebut. Berikut adalah butirannya:
- Borang UMA-7 yang lengkap diisi dan ditandatangan.
- Salinan Kad Pengenalan.
- Salinan cetakan carian WTD yang lengkap dengan nama dan nombor pengenalan empunya sama dengan maklumat pemohon daripada portal eGumis.
- Dokumen asal yang berkenaan.
- Surat pengesahan daripada syarikat yang membuat serahan WTD sekiranya dokumen asal tiada.
- Salinan muka hadapan buku akaun.
- Sekurang-kurangnya dua daripada 3 dokumen ini:
- Borang pembelian asal banke cheque
- Banker cheque yang asal
- Surat pengesahan daripada bank penyerah WTD
Sekiranya penama meninggal dunia, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menyediakan dokumen seperti berikut:
- Borang Permohonan Tuntutan Wang Tak Dituntut UMA-7 yang siap diisi dan ditandatangani oleh Waris/Pentadbir
- Salinan dokumen pengenalan diri Waris/Pentadbir
- Salinan muka hadapan buku akaun/penyata bank (simpanan/semasa) aktif yang jelas dan lengkap dengan nama penuh waris/pentadbir, nombor akaun bank dan nama bank (bayaran akan dipindahkan terus ke dalam akaun).
- Salinan Sijil Kematian
- Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi / Pihak Berkuasa/Pejabat Daerah di Sabah atau Sarawak/Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) / Amanah Raya Berhad yang mempunyai maklumat WTD dalam senarai harta
- Dokumen asal atau surat pengesahan (jika berkenaan)
*Bagi akaun Tabung Haji / akaun pelaburan/ akaun pinjaman peribadi adalah tidak dibenarkan untuk diguna.
Proses Tuntutan WTD
Tuntutan WTD boleh dilakukan dengan dua cara sama ada secara online atau di kaunter JANM. Berikut adalah caranya:
Melalui online
Berikut adalah cara buat tuntutan wang tak dituntut yang boleh dibuat menerusi portal eGumis:
- Log masuk ke laman web rasmi eGumis: https://egumis.anm.gov.my/.
- Masukkan ID pengguna dan kata laluan yang dicipta semasa pendaftaran.
- Klik pada butang “Klik Di Sini Untuk Carian Wang Tak Dituntut” untuk membuat semakan wang tak dituntut melalui kad pengenalan.
- Cetak maklumat wang tak dituntut (jika ada).
- Klik pada rekod WTD yang ingin dituntut. Pilih “Teruskan Dengan Permohonan”
- Klik pada “Tambah Penerima” untuk memasukkan maklumat penerima WTD. Sekiranya maklumat diri adalah sama seperti maklumat pemohon, teruskan dengan memasukkan maklumat perbankan dan kemudian “Simpan”.
- Muat naik dokumen sokongan bagi kategori “Mandatori”
- Tandakan pada dua kotak menyatakan anda bersetuju dengan pengakuan yang dinyatakan berdasarkan terma dan syarat eGumis.
- Klik “Hantar”. Pilih “Ya” untuk menghantar permohonan tuntutan WTD tersebut.
- Anda boleh rujuk portal eGumis untuk status permohonan WTD.
Untuk rujukan bergambar yang lebih jelas, anda boleh klik pada pautan ini: Manual Pengguna
Melalui kaunter
- Datang sendiri ke kaunter JANM mengikut waktu pejabat dan masa yang ditetapkan.
- Bawa bersama dokumen pengenalan diri iaitu kad pengenalan atau MyKad.
- Untuk tuntutan waris yang telah meninggal dunia, anda boleh menyemaknya dengan pemohon perlu membawa sijil kematian, sijil perkahwinan, sijil kelahiran, dan surat sokongan yang menyatakan hubungan pemohon dengan pewaris (contohnya: sijil lahir).
- Serahkan MyKad atau dokumen yang berkaitan di kaunter WTD.
- Pegawai JANM yang bertugas akan membuat semakan terus melalui sistem mereka.
- Anda perlu menunggu beberapa minit untuk mengetahui status WTD tersebut.
- Pegawai yang bertugas akan menyenaraikan senarai WTD (sekiranya ada) dan menerangkan juga prosedur untuk membuat tuntutan.
- Tiada bayaran atau caj perkhidmatan yang akan dikenakan untuk membuat semakan.
- Pemohon perlu mengisi borang tuntutan jika terdapat wang tidak dituntut.
- Borang UMA-7 perlu diisi dengan lengkap dan ditandatangani. Sertakan juga salinan kad pengenalan (hadapan dan belakang) / pasport pemohon bagi bukan warganegara dokumen asal (Contohnya: buku bank / sijil simpanan tetap dan lain-lain).
- Salinan muka hadapan buku akaun / penyata bank pemohon yang aktif serta disahkan oleh pihak bank.
- Bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun yang dinyatakan.
Informasi penting tentang WTD
Berikut adalah beberapa maklumat penting berkaitan WTD yang perlu diambil perhatian oleh pemohon:
- Tiada had untuk semakan atau tuntutan WTD
- Wang disimpan selamat dalam pegangan kerajaan
- Perkhidmatan diberikan adalah percuma
- Dibayar tanpa faedah
- JANM tidak pernah melantik ejen
- JANM tidak pernah menghantar email berkaitan perkhidmatan WTD
Maklumat lanjut
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan WTD atau eGumis ini, anda boleh layari laman sesawang rasmi mereka.
Atau boleh juga hubungi pada nombor telefon ada alamat berikut:
- Nombor telefon: (+603) 2056 8052/53/54/55
- Alamat: Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut, Tingkat 42, Menara Maybank, 100, Jalan Tun Perak, 50050 Kuala Lumpur
- Hari operasi pejabat: Isnin - Khamis
- Waktu operasi pejabat: 8.30 pagi hingga 12.15 tgh (sesi pagi) & 2.45 petang hingga 4.30 petang (sesi petang)
- Waktu cuti pejabat: Sabtu, Ahad & Cuti Umum – Cuti
- Rujukan: Garis Tuntutan WTD
Setelah anda selesai membuat tuntutan ini, anda perlu tunggu lebih kurang sebulan lagi untuk duit segera diproses dan dikreditkan ke akaun bank yang telah dinyatakan di dalam borang tuntutan.
Kesimpulan
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan semakan wang yang tidak dituntut dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.
Artikel ini ditulis oleh Direct Lending – Platform pinjaman di Malaysia yang mudah, telus, diperibadikan, dan menjamin kepuasan anda. Setakat ini, kami sudah ada lebih 3,000 review 5-bintang daripada pelanggan di Google dan Facebook. Layari laman web Direct Lending untuk cari, banding, dan mohon pinjaman peribadi, pinjaman PKS Mikro, dan ansuran servis kereta